TEORI sejarawan setempat, Encik Kwa Chong Guan, yang menyatakan bahawa kerajaan Melayu lama Singapura mungkin menganuti agama Buddha berdasarkan unsur-unsur agama itu yang terdapat dalam buku Sejarah Melayu mungkin kurang tepat, kata pakar sastera Melayu yang juga Penolong Profesor Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Jan Van Der Putten.
Ini kerana buku itu sebenarnya adalah teks berunsur agama Islam kerana sebahagian besar kisah yang terkandung di dalamnya dan cara ia ditulis dipengaruhi budaya Islam.
Meskipun buku itu mengandungi unsur Buddha, Hindu, animisme dan pagan, terutama dalam enam bab pertama, ia lebih banyak dipengaruhi unsur Islam kerana ditulis pada zaman Kesultanan Johor - kerajaan Islam.
Malah, buku yang disusun dan ditulis bendahara Johor, Tun Sri Lanang, pada 1612 itu mula ditulis dalam zaman Kesultanan Melaka, juga kerajaan Islam.
Menurut Dr Van Der Putten, pengaruh kuat agama Islam dalam Sejarah Melayu jelas terbukti dalam prolognya.
'Sejarah Melayu dimulakan dengan bacaan bismillah, puji-pujian kepada Allah, syahadat, serta pujian dan bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad saw,' ujarnya.
Malah, ia juga diberi nama Sulalatus Salatin oleh pengarangnya, yang bermaksud pertuturan atau salasilah segala raja dalam bahasa Arab.
Keseluruhan buku itu juga ditulis dalam Jawi, cara penulisan yang diubah suai daripada bahasa Arab - bahasa perantaraan kaum Islam sejagat.
Dr Van Der Putten menambah meskipun unsur-unsur kepercayaan orang Melayu purba seperti Buddha dan Hindu dicampuradukkan dalam Sejarah Melayu, ia telah disesuaikan kepada konteks agama Islam oleh pengarangnya.
Beliau memberikan contoh 'kontrak sosial' antara ketua menteri Palembang, Demang Lebar Daun, dengan raja Palembang, Sang Sapurba, dalam bab kedua buku itu.
Demang Lebar Daun sebagai wakil rakyat meminta raja Melayu agar tidak memberi aib kepada rakyat. Sang Sapurba pula meminta rakyat agar tidak sesekali menitikkan darah raja ke bumi dan menderhaka sekalipun raja berbuat zalim.
Menurut Encik Kwa, kontrak sosial seperti itu mungkin tercatat dalam kitab Buddha, Digha Nikaya, tetapi Dr Van Der Putten berpendapat bahawa kontrak sosial itu menggambarkan undang-undang syariah Islam.
Dalam bab keenam, kerajaan Singapura ditimpa 'bala' dan binasa diserang Majapahit. Katanya, senario tersebut menggambarkan azab daripada Tuhan yang menimpa negeri itu - akibat raja tidak mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan bertindak zalim ke atas rakyat.
Malah, bendahara Singapura, Sang Rajuna Tapa, yang menderhaka kepada raja dan negeri sendiri, juga bertukar menjadi batu.
Menurutnya, meskipun beliau tidak pasti sama ada konsep kontrak sosial itu berasal daripada agama Buddha, beliau berpendapat konsep tersebut dan hukuman yang menimpa sesiapa yang tidak mematuhi raja adalah sesuatu yang lebih universal daripada agama Buddha.
No comments:
Post a Comment