SELAIN kajian yang dibuat terhadap enam bab pertama buku Sejarah Melayu, kajian arkeologi turut membuktikan bahawa kerajaan Melayu lama di Singapura pernah berada di bawah pengaruh agama Buddha.
Pakar sejarah dan kaji purba, Profesor Madya Dr John Miksic, berkata 90 peratus daripada arca dan batu bersurat purba yang ditemui di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera berasal daripada agama Buddha.
Menurutnya, hanya 10 peratus sahaja daripada penemuan tersebut berasal daripada agama Hindu, sekali gus membuktikan bahawa teori yang diajukan sejarawan setempat, Encik Kwa Chong Guan, kemungkinan adalah benar.
Dalam seminarnya baru-baru ini, Encik Kwa berkata kerajaan Melayu lama Singapura dan penduduknya mungkin asalnya beragama Buddha, berdasarkan kajian beliau terhadap bab pertama hingga keenam teks Sejarah Melayu karya bendahara Johor, Tun Sri Lanang.
Ini kerana beliau menemui unsur-unsur agama Buddha dalam versi teks Sejarah Melayu milik Sir Stamford Raffles, Raffles Malay 18 - versi paling lama disusun pada kurun ke-19.
Dr Miksic memberikan beberapa contoh artifak yang membuktikan kewujudan pengaruh Buddha.
Antaranya batu bersurat ditulis dalam bahasa Sanskrit dengan skrip purba Devanegari kurun ke-10, yang ditemui di Pulau Karimun, sekitar 30 kilometer dari Singapura. Ia masih terdapat di sana.
'Tulisan di permukaannya menyatakan ia ditulis penganut agama Buddha Mahayana. Ia ditulis dalam zaman Kerajaan Sriwijaya, kerajaan Melayu silam beragama Buddha Mahayana yang berkuasa dari kurun ke-7 hingga ke-13,' ujarnya.
Kerajaan Sriwijaya berpusat di Palembang dan pengaruhnya tersebar luas hingga ke seluruh Indonesia, Malaysia dan Filipina.
Ia banyak dipengaruhi budaya India - pertama budaya agama Hindu, diikuti agama Buddha, yang diperkenalkan di sana pada 425 Masihi.
Menurutnya, nama Sri Tri Buana, pengasas Singapura purba, adalah istilah agama Buddha yang biasa digunakan pada kurun ke-14.
'Sebuah kitab Buddha bahasa Thai daripada kurun ke-14 yang mengisahkan tentang takdir berjudul Doktrin Trai Phum atau Doktrin Tri Buana dalam bahasa Sanskrit. Seperti yang dikatakan Encik Kwa, Tri Buana bermaksud tiga alam yang dipercayai wujud dalam agama Buddha.
'Nama-nama empat raja Melayu pertama memerintah Singapura lama (Sri Tri Buana, Paduka Sri Pikrama Wira, Sri Rama Wikerma, Paduka Seri Maharaja) juga bukan nama Islam,' ujar pensyarah Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS) itu.
Menurut beliau, keramat Iskandar Shah di Fort Canning juga kemungkinan besar sebuah candi Buddha.
'Tidak mungkin beliau dikebumikan di sini kerana beliau menjadi sultan di Melaka dan meninggal dunia di sana sekitar 1413. Malah, keramat tidak semestinya menempatkan kubur. Ia juga boleh jadi tempat memuja, tempat bertafakur dan lain-lain lagi,' ujar beliau, yang mengetuai penggalian arkeologi pertama di Singapura pada 1984.
Malah, penghuni Singapura berbangsa British pertama, John Crawford, juga pernah mencatatkan bahawa terdapat saki-baki candi dan biara Buddha di Fort Canning.
Menurut Dr Miksic, agama Buddha dibawa ke rantau Melayu oleh pedagang dan kelasi Melayu yang menjelajah ke negeri India.
Katanya, pada kurun kelima, sesetengah orang Melayu di Kedah dan Patani menjadi penganut Buddha - terbukti daripada inskripsi Buddha yang ditemui di selatan Kedah dan Seberang Perai di Pulau Pinang.
Pada kurun ke-7 pula, kerajaan Sriwijaya memeluk agama Buddha Mahayana. Agama Buddha mungkin tersebar ke sana dari rantau Bihar, timur laut India, tempat terletaknya biara Nalanda.
'Sriwijaya adalah antara tempat utama bagi pembelajaran agama Buddha ketika itu. Selain guru-guru India, sami Buddha berbangsa Benggali, Atisha, serta sami Cina, Yijing, juga belajar di sana sebelum meneruskan perjalanan ke India untuk belajar di biara Nalanda.
'Malah, orang Melayu dulu kala juga yang merintis jalan perdagangan jarak jauh merentasi Lautan Hindi. Penghuni pertama Madagascar pada kurun ke-5 juga bukan orang India atau Afrika, tetapi orang Melayu,' kata beliau.
No comments:
Post a Comment