Sunday, October 23, 2011

Himpunan sejuta umat hanya tarik 5,000 peserta

Sebelum ini penganjur dakwa dapat sokongan 2,000 NGO dengan keanggotaan mencecah 4 juta orang


SHAH ALAM: Himpunan Sejuta Umat (Himpun) di Stadium Shah Alam, semalam, terpaksa dimulakan lewat 90 minit dengan jumlah kehadiran hanya sekitar 5,000 peserta - jauh lebih rendah daripada sasaran penganjur seramai 100,000.


Kempen yang mendapat liputan meluas bagi membincangkan isu murtad di kalangan masyarakat Islam di Malaysia itu hanya dimulakan pada 3.40 petang ekoran sambutan dan penyertaan yang dingin, lapor laman berita The Malaysian Insider, semalam.


Acara perhimpunan tersebut dimulakan dengan lagu-lagu nasyid untuk menghiburkan para hadirin, tetapi kemudian terganggu seketika oleh satu pengumuman yang mengecam senaskah buku kecil bertajuk, Siapa Bertanggungjawab Kristiankan Melayu di Selangor?.


Sekretariat Himpun sebelum ini berkata, mereka meletakkan sasaran kehadiran lebih 100,000 peserta kerana mendakwa mendapat sokongan sekitar 2,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili sekitar empat juta anggota dan penyokong.


Namun, jumlah kehadiran pada hari perhimpunan itu mengecewakan dan jauh lebih rendah berbanding dengan perhimpunan Gabungan bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0, pada Julai lalu, yang mahukan pembaharuan dalam proses pilihan raya.


Para penceramah Himpun, bagaimanapun, tetap menunjukkan sikap bersatu mereka dalam usaha gerakan itu menentang apa yang disifatkannya sebagai 'ketidakadilan' terhadap Islam di kalangan para penganut agama lain di negara itu.


'Kita harap dapat suntik keberanian dalam diri kita, semuanya akan gerakkan perubahan dari segi undang-undang, dasar dan sikap, terutamanya di kalangan mereka yang berkeras ingin murtadkan umat Islam, sedangkan ia satu kesalahan untuk sebar agama lain kepada orang Islam,' kata pengerusi bersama Himpun, Dr Mohd Yusri Mohamad, yang dipetik dalam laporan laman berita Malaysiakini.


Berucap seterusnya ialah Encik Farhan Abdullah, seorang pendakwah dari Sabah, yang mahukan perlembagaan persekutuan dipinda untuk menyekat kejadian murtad.


Beliau berkata, Perkara 11 dalam perlembagaan itu menyatakan bahawa terdapat kebebasan beragama untuk semua warga negara yang berumur 18 tahun ke atas.


Bagaimanapun, Encik Farhan menggesa para ahli parlimen (AP) Dewan Rakyat untuk meminda perlembagaan itu bagi menambahkan satu peruntukan bahawa 'kebebasan agama hanya untuk orang bukan Islam'.


'Tidak ada kebebasan (untuk menukar agama) untuk orang Islam,' tegasnya, tanpa mengulas lanjut tentang bagaimana usaha memurtadkan orang Islam berlaku di Malaysia.


Selanjutnya, bekas timbalan naib canselor Universiti Teknololgi Mara (UiTM), Datuk Ibrahim Abu Shah, pula membangkitkan kegiatan Kristian militan yang didakwa mempunyai 13 orang mubaligh di Malaysia, Indonesia dan Filipina dengan matlamat memurtadkan orang Islam.