Ramai menyangka kerajaan Melayu lama di Singapura beragama Hindu. Namun, seorang sejarawan setempat, Encik Kwa Chong Guan, yang menjalankan kajian ke atas buku 'Sejarah Melayu' telah mengemukakan satu teori bahawa mereka mungkin beragama Buddha. Teori beliau itu disampaikan dalam satu seminar anjuran Pusat Kajian Sejarah Asia, Pusat Nalanda-Sriwijaya di Iseas. NURUL DAYANA SIMANGOON (dayans@sph.com.sg) menyusuri teori tersebut.
SEBELUM kedatangan Islam, ramai menyangka kerajaan Melayu lama di Singapura dan penduduknya menganuti agama Hindu.
Namun, teori seorang sejarawan setempat, Encik Kwa Chong Guan, telah menarik perhatian apabila beliau menyatakan bahawa kerajaan Melayu lama itu mungkin asalnya merupakan penganut agama Buddha.
Ini berdasarkan kajian beliau ke atas enam bab pertama Sejarah Melayu, yang menurutnya mengandungi beberapa unsur agama tersebut.
Buku Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin, yang tidak asing di kalangan para akademik dan pelajar pengajian Melayu, ditulis oleh Tun Sri Lanang, bendahara Johor, pada 1612.
Encik Kwa membuat kajian ke atas versi Sejarah Melayu milik Sir Stamford Raffles, yang digelar Raffles Malay 18 - versi paling lama yang disusun pada kurun ke-19.
Ia dokumen sejarah penting mengisahkan kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman kerajaan Melayu lama di rantau ini, termasuk di Singapura.
Encik Kwa, daripada Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) Universiti Teknologi Nanyang (NTU), berkata unsur-unsur Buddha itu dipercayai antara bukti Semenanjung Tanah Melayu, termasuk Singapura, mungkin pernah berada di bawah pengaruh agama Buddha sebelum Islam tersebar luas di rantau ini sekitar kurun ke-15.
Ini sekali gus mungkin dapat mengukuhkan lagi teori wujudnya satu kerajaan Melayu lama di Singapura yang membina istana di Bukit Larangan atau Fort Canning Hill sebelum penemuan Singapura moden oleh Sir Stamford Raffles pada 1819.
Kerajaan yang dipercayai didirikan Sang Nila Utama atau digelar Sri Tri Buana pada kurun ke-13 itu dan berterusan selama lima keturunan, dikatakan mungkin mengamalkan agama Buddha Mahayana, yang tersebar luas di rantau Melayu ketika itu.
Encik Kwa, yang juga Ketua Program Luar RSIS, telah menyampaikan hujahnya itu dalam satu seminar The Buddhist Origins of 'Singapura': Re-reading Chapters 1-6 of the Sejarah Melayu (Asal Usul Buddha Singapura: Pengkajian Semula Bab 1-6 Sejarah Melayu).
Ia dianjurkan Pusat Kajian Sejarah Asia, Pusat Nalanda-Sriwijaya, di Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas).
Menjelaskan kajiannya, Encik Kwa berkata meskipun orang Melayu sudah memeluk Islam ketika Sejarah Melayu ditulis, mereka masih dipengaruhi agama Buddha dan Hindu - amalan nenek moyang mereka.
Lantaran itu tidak hairanlah Sejarah Melayu dicampuradukkan dengan pelbagai mitos dan legenda berunsur agama Buddha, Hindu dan pagan, selain Islam.
Antara unsur ketara ialah nama Sri Tri Buana (juga dikenali sebagai Sang Nila Utama) yang dipetik daripada kekata agama Buddha bermaksud 'raja tiga alam' dalam bahasa Sanskrit.
'Penganut Buddha Mahayana percaya seseorang itu boleh dilahirkan dalam tiga alam - arapudhatu atau alam tertinggi yang penghuninya telah mendapat petunjuk, rupadhatu atau alam pertengahan yang belum mendapat petunjuk, dan kamadhatu atau alam terbawah yang tidak mendapat petunjuk.
'Oleh itu gelaran raja tiga alam itu menunjukkan penulis Sejarah Melayu mungkin telah memaparkan Sang Nila Utama sebagai penjelmaan semula dewa Buddha mazhab Mahayana, Avalokitesvara. Ini memandangkan pengaruh kuat agama tersebut di Nusantara sebelum ketibaan Islam,' ujar beliau, yang juga mantan pengarah Muzium Negara.
Menurutnya, tujuan Sejarah Melayu ditulis mungkin berunsur politik - bagi memberikan raja-raja Melayu hak dari segi moral dan agama untuk terus bertakhta dengan mendakwa diri mereka keturunan dewa-dewi serta mempunyai kuasa sakti atau daulat.
Satu lagi unsur Buddha yang diketengahkan Encik Kwa, juga salah seorang penulis buku Singapore: 700 Year History, adalah asal usul nama Singapura.
Menurut Sejarah Melayu, Sang Nila Utama, raja Bintan yang berpindah ke Temasek, menamakan pulau ini Singapura selepas melihat seekor singa - dianggap satu petanda baik yang membawa tuah. Singapura bermaksud Kota Singa dalam bahasa Sanskrit.
Namun, singa juga merupakan antara simbol penting agama Buddha iaitu lambang kerajaan, kekuatan dan kekuasaan Buddha.
Malah, terutama dalam amalan Buddha Tibet, Buddha biasanya dipaparkan sebagai menduduki takhta atau singgahsana berbentuk singa. Ajaran Buddha juga kadangkala digelar 'ngauman singa'.
'Avalokitesvara dikenali sebagai dewa yang mempunyai 'Takhta Singa' atau Sinhasana dalam bahasa Sanskrit. Oleh itu, mungkin kisah asal usul nama Singapura itu sebenarnya melambangkan pulau itu sebagai pilihan utama Sri Tri Buana, iaitu penjelmaan semula dewa Buddha bagi 'Takhta Singa' beliau,' ujarnya.
Kontrak sosial antara raja Palembang, Sang Sapurba, yang mewakili raja Melayu dan ketua menteri, Demang Lebar Daun, yang mewakili rakyat, dalam bab kedua Sejarah Melayu juga mungkin berunsur Buddha.
Diriwayatkan Demang Lebar Daun telah menawarkan anaknya, Wan Sendari, kepada Sang Sapurba sebagai isteri dengan syarat raja menepati satu waad (perjanjian) agar anaknya terselamat daripada penyakit kulit yang melanda semua isteri Sang Sapurba (akibat kuasa sakti).
Sang Sapurba pula meminta agar rakyat tidak sesekali menitikkan darah raja ke bumi, walau raja Melayu jahat dan zalim pekertinya.
Beliau berkata barang siapa tidak menetapi perjanjian itu, maka 'dibalikkan Allah bumbung rumahnya ke bawah, kaki tiangnya ke atas'.
Teori kontrak sosial seperti itu, kata Encik Kwa, mungkin wujud dalam kitab Buddha digelar Digha Nikaya, di bahagian Agganna Suttanta.
Satu lagi unsur Buddha ialah upacara bersiram, yang dikisahkan dalam bab kedua Sejarah Melayu.
Diriwayatkan, setelah Sang Sapurba mengahwini Wan Sendari, satu 'panca persada (tempat bersiram) tujuh pangkat, lima kemuncaknya... bekas air mandi sekaliannya emas berpermata' telah ditukangi.
Selepas genap 40 hari dan 40 malam 'makan minum bersuka-sukaan, pasangan suami isteri itu diarak tujuh kali berkeliling panca persada itu dan dimandikan'.
Menurut Encik Kwa, upacara itu serupa dengan upacara bersiram yang diamalkan penganut Buddha mazhab Tantrik bagi menyucikan diri, digelar kalas abhiseka.
No comments:
Post a Comment