Tuesday, April 27, 2010

Johor: Rakyat bantah bina Mini KIK

ini lagi satu pembaziran yang nyata, setahu aku yang dah keluar masuk Singapura, berapa kerat sangat yang jalan kaki pergi dan balik ke pulau singapura itu? kenapa nak ada pulak MINI KIK? apa kurang dgn KIK sekarang? baik simpan duit itu untuk benda lain... kalau x sokong nanti kata kita ini pembangkang, tapi bila sokong kampung aku tergadai... :( baca lah berita dibawah ini dan silakan beri ulasan anda, jika patut... :)

Oleh Johan Afandi
johan@bharian
2010/04/27

Ramai anggap cadangan membazir kerana BSI sedia cukup kemudahan

JOHOR BAHRU: Rakyat negara ini yang bekerja di Singapura tidak bersetuju dengan pembinaan Mini Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) khusus untuk pejalan kaki kerana ia bukan satu keperluan mendesak selain membazir wang rakyat.
Sambil menyifatkan cadangan pembinaan Mini KIK tidak wajar, mereka mengakui Bangunan Sultan Iskandar (BSI) yang juga Kompleks KIK baru menggantikan Tambak Johor mempunyai kemudahan lengkap dan selesa itu, untuk semua jenis pengguna termasuk pejalan kaki.

Jurutera kanan perisian sebuah syarikat multinasional di Singapura, Nazlen Jabar, 40, berkata tidak pernah ada sebuah negara di dunia ini, yang mempunyai kompleks KIK khusus, untuk pejalan kaki dan jika Malaysia menjadi negara pertama yang membinanya, ia adalah satu pembaziran yang amat jelas.

Katanya, BSI yang dibina dengan kos hampir RM1 bilion dan beroperasi pada 2007, adalah sebuah kompleks yang canggih dan lengkap dengan segala kemudahan untuk semua jenis pengguna dan seharusnya, satu kajian sikap perlu dilakukan terlebih dulu membabitkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura bagi mengetahui pandangan mereka berhubung Mini KIK itu.

“Saya hairan dengan alasan bahawa pembinaan Mini KIK itu, akan dapat mengurangkan kesesakan, saya sudah berulang hampir lima tahun dan secara purata, tidak sampai 1,000 pejalan kaki menggunakan Tambak Johor pada waktu puncak, jadi tiada kesesakan.

“Mereka yang turun di BSI, kemudian menikmati kemudahan tangga lif terus ke Kompleks Beli Belah City Square, jadi memang tiada kesesakan,” katanya ketika ditemui Berita Harian di sini, semalam.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad pada awal bulan ini, mendedahkan Mini KIK khusus untuk pejalan kaki akan beroperasi pada awal tahun depan, sekali gus mengurangkan kesesakan di laluan ke Tambak Johor.

Projek berkenaan kini sudah mendapat kelulusan dari Kementerian Dalam Negeri daripada aspek keselamatan dan hanya perlu menyelesaikan beberapa perkara berkaitan teknikal dan tanah sebelum kerja pembinaan boleh dimulakan seawal Disember ini.

Nazlen berkata, beliau ada menaiki bas awam dari bandar raya ini, ke Singapura dan sebaliknya dan merasakan bahawa kerajaan perlu memikirkan kaedah lain untuk meningkatkan semula aktiviti perniagaan di pusat bandar raya.

“Sebenarnya, aktiviti perniagaan di pusat bandar raya ini, dijana oleh rakyat kita yang bekerja di Singapura dengan menggunakan motosikal bukannya, pejalan kaki. Kini, penunggang motosikal tidak lagi melalui pusat bandar raya, jadi Mini KIK itu, amat tidak relevan,” katanya.

Hakikat berkenaan disokong Robert Mariasusayee, 30, yang sudah bekerja di Singapura sejak empat tahun lalu, yang mahu kerajaan membatalkan saja rancangan pembinaan Mini KIK itu, kerana ia langsung tidak memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat.

“Jangan teruskan pembinaan Mini KIK itu, pejalan kaki sekarang tidak mempunyai masalah menggunakan BSI.... saya rasa orang yang beria-ia mahukan pembinaannya mempunyai kepentingan tersendiri, bukan kepentingan rakyat,“ katanya.

Beliau yang bekerja sebagai juruteknik sebuah syarikat penghawa dingin di negara jiran itu, mengakui BSI adalah sebuah kompleks yang cukup lengkap dan setaraf dengan yang ada di Singapura dan negara ini, tidak memerlukan sebuah kompleks khusus untuk pejalan kaki.

Berita Harian Online | Johor: Rakyat bantah bina Mini KIK

No comments:

Post a Comment