Thursday, April 29, 2010

2,720 Keluarga Setinggan Dapat Rumah Mampu Milik Di Johor Bharu

JOHOR BAHARU, 28 April, 2010 (Bernama) -- Sejumlah 2,720 buah keluarga dari lapan buah perkampung setinggan di pinggiran Sungai Tebrau di sini akan ditawarkan rumah pangsa mampu milik di bawah program penempatan semula setinggan.

Menurut Unit Media dan Komunikasi (Medkom) Pejabat Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, program yang menelan belanja RM303 juta itu merupakan antara yang terbesar di Johor ketika ini.

"Menteri Besar dijadual menyampaikan Sijil Kelayakan Memiliki Rumah kepada ketua masyarakat lapan kampung yang terlibat itu esok sempena lawatan beliau ke kawasan Parlimen Johor Baharu," kata Medkom dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Rumah pangsa itu akan dibina oleh Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor, iaitu syarikat pelaburan kerajaan negeri dengan Tebrau Teguh Berhad yang dilantik sebagai pemaju bersama dan kontraktor utama projek.

Sebanyak 10 buah rumah pangsa setinggi 11 tingkat lengkap dengan kemudahan awam akan dibina di bawah program penempatan semula setinggan itu dan ia terletak dalam lingkungan lima kilometer dari penempatan asal kampung setinggan tersebut.

"Kumpulan pertama penduduk dijangka berpindah ke rumah baru mereka pada awal tahun 2012," menurut kenyataan itu, sambil menambah pembahagian unit rumah pangsa itu berdasarkan kepada dua kategori utama.

Kumpulan pertama melibatkan 1,360 keluarga yang sebelum ini memiliki Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dan mereka layak membeli rumah bernilai RM80,000 seunit, kata Medkom.

Mereka yang dikenalpasti kategori ini ini adalah penduduk Kampung Belantik, Kampung Desa Jaya, Kampung Desa Makmur, Kampung Desa Melayu, Kampung Tengah, Kampung Datuk Hajjah Hasnah, Kampung Tok Siak dan Kampung Bakar Batu.

Medkom berkata Kerja-kerja pembinaan rumah pangsa itu sedang dijalankan di empat tapak berbeza di persekitaran Kampung Bakar Batu, Kem Majidee, Kampung Tok Siak dan PPR Stulang.

Kumpulan kedua penduduk sebanyak 1,360 keluarga pula akan ditawarkan unit di tingkat enam hingga 10 di setiap blok dengan harga jualan sebanyak RM50,000 seunit.

Menurut Medkom, perbincangan sedang dijalankan dengan bank-bank komersil bagi merangka satu skim pinjaman perumahan yang khusus dalam usaha memastikan kesemua 2,720 keluarga mampu memiliki rumah berkenaan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment