Saturday, July 16, 2011

Marilah bertutur tanpa canggung atau dipaksa-paksa

SINGAPURA 15 Jul 2011; Ucapan Editor Berita Harian/Berita Minggu, Encik Mohd Guntor Sadali, di majlis Anugerah Jauhari di Hotel Shangri-La malam kelmarin.

'SALAH satu kesan nyata daripada Pilihan Raya yang lalu ialah negara kita perlu menyemak beberapa amalan dan dasar-dasar sekarang.

Semakan ini dijangka membawa idea-idea baru untuk membaiki lagi dasar- dasar yang mungkin lapuk dan tidak berkesan.

Beberapa amalan yang gagal memperolehi keputusan yang diinginkan juga perlu dihapuskan.

Atas kesedaran ini, saya ingin mengambil peluang malam ini untuk menyentuh sesuatu yang dekat di hati - iaitu bahasa Melayu.

Kita kini sedang menyambut Bulan Bahasa 2011. Ia merupakan acara penting yang mempromosikan penggunaan bahasa Melayu. Dan Berita Harian merupakan salah satu penyokong kuat Bulan Bahasa.

Terdapat satu perkembangan besar dalam sejarah bahasa Melayu di negara ini, iaitu satu usaha oleh tiga negara - Indonesia, Malaysia dan Singapura - untuk membakukan penggunaan bahasa Melayu.

Ia berlaku pada awal 1990-an dan merangkumi dua aspek - penulisan dan sebutan.

Saya memang setuju dengan penulisan bahasa Melayu yang dibakukan. Malah, ia telah dilaksanakan dengan berjaya sejauh ini. Semua sekolah dan media cetak kini menggunakan ejaan baku.

Terdapat beberapa peraturan khusus dalam ejaan Melayu, tetapi terdapat pengecualian bagi peraturan ini.

Sekiranya timbul keraguan, kita boleh merujuk kepada buku panduan ejaan baku yang dihasilkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di Malaysia. Ejaan baku telah dilaksanakan dengan baik.

Namun, perkara yang serupa tidak berlaku bagi sebutan baku. Sejak dahulu lagi saya mempunyai keraguan mengenai sistem sebutan baku sejak ia dilaksanakan pada 1993 di sekolah rendah dan pada 1994 bagi sekolah menengah.

Sebab utama ialah, tidak seperti orang Melayu di Malaysia yang bertutur loghat berbeza bahasa Melayu, bergantung kepada negeri asal mereka, masyarakat Melayu setempat telah pun bertutur dalam versi baku iaitu Melayu Johor-Riau.

Orang Melayu di Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang, sebagai contoh, bertutur bahasa Melayu yang berbeza berbanding orang Melayu lain di Malaysia, dan kita sendiri sukar untuk memahami mereka.

Namun, ia amat berbeza dengan orang Melayu di Singapura. Kita mungkin tinggal di Woodlands, Bedok, Sengkang atau Jurong, tetapi kita bertutur bahasa Melayu yang sama, iaitu Melayu Johor-Riau.

Malah, ini juga merupakan bentuk baku. Ia bukan sahaja ditutur secara biasa di rumah, malah cara sebutan itu diajar di sekolah. Bentuk serupa juga digunakan oleh media penyiaran nasional.

Namun, percubaan untuk mengubahnya dibuat apabila sebutan baku diperkenalkan. Secara tiba-tiba, apa yang dianggap sebagai bahasa yang ditutur secara baku dianggap tidak cukup baik sebagai alat perhubungan.

Dengan perubahan dibuat dalam sistem ejaan baku, kanak-kanak diajar dengan ketat untuk menyebut perkataan mengikut ejaannya. Menyusulinya, media penyiaran menerima sebutan Melayu baku baru ini.

Kini, selepas dua dekad sebutan baku di sekolah-sekolah diperkenalkan, saya fikir sudah tiba masanya untuk kita memikirkan dengan mendalam matlamat yang ingin diraih dan bertanya sama ada ia wajar, selain kita perlu meninjau semula keberkesanannya.

Saya secara jujur percaya kita tidak bergerak maju dalam sebutan baku. Sekiranya ada, kita hanya berjaya merumitkan lagi pembelajaran bahasa ibunda.

Akibatnya, kita kini ada dua sebutan Melayu - satu yang diajar di bilik darjah dan yang digunakan dalam situasi formal, dan satu dalam dalam perbualan seharian.

Saya diberitahu bahawa di sekolah- sekolah, pelajar dan guru akan menggunakan Melayu Johor-Riau, dan tidak terus menggunakan baku, sebaik sahaja mereka melangkah keluar dari bilik darjah.

Dan jika anda mendengar stesen radio Melayu atau saluran berita TV Melayu, anda akan dapati bahawa penggunaan baku hanya tertumpu kepada sebutan 'a' tetapi bukan vokal yang lain.

Kita perlu hadapi kenyataan yang pahit - selepas dua dekad mempromosikan penggunaan Melayu baku, tiada, atau mungkin sejumlah kecil individu Melayu, selesa dan efektif dalam menggunakannya setiap hari.

Malah di Malaysia, percubaan memperkenalkan sebutan baku juga sia-sia. Media penyiaran mereka telah kembali menggunakan versi awal sebutan Melayu baku.

Lantas persoalannya ialah perlukah kita meneruskan amalan pengajaran sebutan baku di sekolah-sekolah? Bagi saya, ia merupakan usaha sia-sia.

Salah satu hujah yang saya sering dengar ialah pelajar bukan Melayu mendapati sukar untuk memahami logik sebutan Melayu Johor-Riau menerusi ejaannya. Lantas sebutan Melayu baku boleh membantu pelajar-pelajar ini mempelajari bahasa Melayu dengan lebih mudah kerana sistem itu berdasarkan ejaan.

Tidakkah kita perlu lebih prihatin tentang bagaimana masyarakat kita mempelajari dan menggunakan bahasa kita sendiri daripada lebih bimbang mengenai bagaimana masyarakat lain mempelajarinya?

Saya tidak melihat orang Perancis, Jerman, Jepun atau orang Inggeris, sebagai contoh, mengambil langkah serupa untuk memudahkan orang lain mempelajari dan bertutur bahasa mereka.

Lantas agak aneh, bahawa kita, orang Melayu, terlalu bimbang mengenai orang bukan Melayu mempelajari bahasa kita. Dan kesediaan kita mengubah cara kita bertutur hanya untuk memudahkan pembelajaran orang lain, amat memelikkan.

Apa yang ingin saya tekankan ialah 'Marilah kita bertutur bahasa Melayu secara biasa. Marilah kita bercakap dengan cara yang membolehkan perkataan itu dapat ditutur dengan mudah tanpa kedengaran canggung atau dipaksa-paksa'.

Saya percaya bagi ramai Melayu, pilihan mereka ialah versi Johor-Riau, dan bukan sebutan baku, kerana bagi kebanyakan Melayu, ini merupakan bahasa yang digunakan oleh ibu bapa dan datuk nenek untuk berhubungan dengan kita sejak kita dilahirkan. Dan menerusi Melayu Johor-Riau jugalah kita boleh berhubungan dengan anak-anak dan cucu-cicit kita.

Kita tidak perlu membebankan anak- anak mempelajari sebutan dengan cara yang dianggap asing kepada lidah mereka, sesuatu yang mereka ketepikan sebaik sahaja mereka keluar dari bilik darjah.

Percubaan itu bukan sahaja tidak perlu malah membazir sumber.

Bagi saya, selagi bahasa Melayu yang dituturkan difahami oleh masyarakat dan berupaya menyatukan rakyat sebagai satu bangsa, itulah bahasa Melayu yang patut kita terus gunakan, pelajari dan promosikan kepada anak-anak, selain penutur bukan Melayu.

Apabila kita bercakap dalam versi Johor- Riau - yang kita gunakan sekarang - kita sebenarnya menggunakan Melayu baku. Ia merupakan bahasa baku yang difahami dan selesa digunakan semua orang. Tidak perlu mencipta satu cara bertutur yang berbeza.

Izinkan saya mengakhiri ucapan saya dengan melahirkan harapan agar orang Melayu dapat bertutur bahasa Melayu secara biasa.

Lantas sekiranya saya ingin berkata 'I like to eat burgers', kita berkata Saya suka makan burger, dan bukan Saya suka makan bur-ger dalam sebutan baku.

(Deraian ketawa hadirin)

Anda mentertawakan saya. Itulah perkara yang ingin saya sampaikan. Kita tidak seharusnya ditertawakan apabila kita bertutur bahasa kita sendiri.

Cukuplah hujah saya.'

Akur sebutan baku bahasa Melayu hambat penutur, harus dihenti

Singapura 15 Jul 2011 : Saranan Editor BH/BM dirasa tepat pada masanya, perlu dilaksana

Oleh
Hisham Hasim Dan Linilidia Abdul Hamid

SARANAN agar disemak pengajaran dan penggunaan sebutan baku bahasa Melayu tepat pada masanya dan harus dilaksana.

Ini kerana sebutan baku tidak digunakan dalam perbualan harian, sebaliknya terhad dalam bilik darjah dan media massa.

Demikian pandangan beberapa anggota masyarakat Melayu berhubung saranan Editor Berita Harian/Berita Minggu, Encik Mohd Guntor Sadali, itu.

Membuat saranan itu dalam berucap di majlis Anugerah Jauhari anjuran Berita Harian/Berita Minggu kelmarin, Encik Mohd Guntor berkata penggunaan sebutan baku di sini sejak hampir dua dekad lalu tidak menunjukkan kemajuan.

Mereka yang dihubungi akhbar ini turut bersetuju dengan pandangan Encik Mohd Guntor bahawa usaha membakukan ejaan baik dan perlu disokong.

Yang menjadi 'masalah' ialah aspek sebutan baku, kata mereka.

Mantan ketua Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Melayu di Institut Pendidikan Nasional (NIE)-Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Madya Kamsiah Abdullah, berkata: 'Sebutan bahasa Melayu dalam percakapan harian berdasarkan loghat Riau Johor adalah sebutan yang telah pun baku.

'Perlu disedari bahawa gerakan sebutan baku di Singapura bukanlah usaha pembakuan sebutan bahasa Melayu tetapi mengubah sebutan bahasa Melayu yang telah sedia baku kepada suatu bentuk baru yang tiada penutur jatinya.

'Tiada suatu kelompok besar ataupun kecil yang menggunakannya (sebutan baku sekolah sekarang) dalam kehidupan sehari-sehari, di luar dari bilik darjah bahasa Melayu.'

Profesor Madya Kamsiah berkata beliau bersyukur kerana akhirnya masyarakat sedar usaha hampir 20 tahun membakukan sebutan bahasa Melayu 'perbuatan sia-sia'.

Memberikan reaksinya, pengerusi Angkatan Karyawan Islam (AMP), Encik Nizam Ismail, berpendapat bahawa sudah tiba masanya pemerintah menyemak dasar penggunaan sebutan baku itu.

'Sejak sekian lama sebutan baku masih tidak digunakan masyarakat am dan hanya terbatas pada ruang formal.

'Oleh itu, ia tentunya sesuatu usaha yang tidak berkesan.

'Sebutan bahasa yang digunakan haruslah mencerminkan realiti kehidupan dan identiti sebenar masyarakat Melayu kita.

'Tentu sekali sebutan baku tidak menonjolkan sedemikian,' kata Encik Nizam, seorang peguam.

Seorang pensyarah politeknik, Cik Nur Dian Mohamad Rasid, berpendapat tekanan yang dirasai untuk bertutur dalam sebutan baku sesuatu yang 'tidak perlu wujud', yang hanya membataskan keupayaan seseorang itu meluahkan pemikirannya.

'Ia juga mengurangkan keyakinan diri seseorang itu untuk bertutur dalam bahasa Melayu, yang seharusnya digunakan secara natural sebagaimana yang kita tutur hari-hari,' kata Cik Dian.

Isu mengenai penggunaan sebutan baku telah banyak kali ditimbulkan sebelum ini dalam forum akhbar dan perbincangan bahasa serta di ruang siber seperti di Facebook.

Ramai melahirkan rasa 'lega' mengenai saranan Encik Mohd Guntor itu dan berkata semakan harus dilakukan kerana sudah terlalu lama.

Sebuah laman Facebook bertajuk 'Beku Baku' turut dibangunkan baru-baru ini bagi tujuan serupa.

Menyuarakan pandangannya, Ketua Pegawai Kreatif, Mini Monsters, sebuah syarikat yang menjalankan program pengayaan bahasa Melayu di sekolah-sekolah, Cik Rilla Melati Bahri, berkata penggunaan sebutan baku menyukarkan dan tidak menambah nilai kepada para pelajar yang berusaha menjiwai semangat bahasa itu sendiri.

'Di rumah kita bercakap Melayu loghat Riau, tetapi di sekolah ia terpaksa berubah.

'Sebagai pengacara, saya berbahasa baku tetapi penonton atau peserta yang menyertai program saya tidak berbuat demikian, jadi ini satu kejanggalan,' katanya.

Thursday, June 23, 2011

Sinaran Dan Manusia Dalam Aktiviti Harian

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Sebaik saja kita mendengar perkataan "radioaktif", secara automatik terlintas di fikiran bahawa radioaktif adalah bahan yang sangat berbahaya, tidak boleh didekati apatah lagi disentuh.

Ada yang mengatakan, barangkali radioaktif itu boleh meletup, menyebabkan kematian atau boleh menyebabkan seseorang individu itu terkena penyakit seperti kanser dan sebagainya. Itu persepsi umum masyarakat terhadap radioaktif.

Bukan itu sahaja, radioaktif turut dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa hitam yang telah berlaku di seluruh dunia antaranya seperti letupan bom atom di Hiroshima, Jepun pada 6 Ogos, 1945; kemalangan loji kuasa nuklear di Chernobyl, Ukraine pada 26 April, 1986; dan terkini ialah peristiwa kebocoran radiasi di loji kuasa nuklear di Fukushima akibat gempa bumi dan bencana tsunami pada 11 Mac, 2011 lalu.

Peristiwa-peristiwa seperti ini menyebabkan masyarakat semakin berasa bimbang dan gusar kerana mereka beranggapan radioaktif adalah punca kepada segala-galanya iaitu kehilangan nyawa, kerosakan harta-benda, pencemaran terhadap alam sekitar dan mengidap penyakit berbahaya seperti kanser.

Sememangnya stigma masyarakat terhadap radioaktif sukar untuk diubah. Namun begitu, pada hakikatnya dan tanpa kita sedari, radioaktif sebenarnya wujud secara semulajadi di sekeliling kita yang mengeluarkan sinarannya secara semulajadi dan kita terdedah kepadanya dalam kehidupan kita seharian.

Umpamanya pendedahan sinaran dari tanah-tanih dan batu-batan yang kita duduki, dari angkasa seperti kosmik, bahkan kita turut memakannya melalui makanan dan minuman kita seharian seperti di dalam buah-buahan dan sayuran.

Tubuh badan kita sendiri mempunyai bahan radioaktif semulajadi seperti potassium-40 (K-40).

Data UNSCEAR 2000 (United Nations Scientific Committee on the Effects of Atomic Radiation to the General Assembly) menyatakan purata dedahan dos sinaran semulajadi di sekeliling kita yang terdedah kepada kita setahun adalah sebanyak 2.4 milliSievert (mSv).

Malah di dalam semua tanah di dunia terdapat bahan radioaktif semulajadi (Naturally Occurring Radioactive Materials - NORM) terutamanya kandungan uranium-238 iaitu dalam julat 16 - 110 Becquerrel/kg[Bq/kg] (bersamaan 0.016 - 0.1 Bq/gm) dan kandungan thorium-232 dalam julat 11 - 64 Bq/kg (bersamaan 0.011 - 0.064 Bq/kg).

Di Malaysia, kandungan uranium dan thorium semulajadi ini adalah dalam julat 49 - 86 Bq/kg (bersamaan 0.049 - 0.086 Bq/gm) untuk uranium dan dalam julat 63 - 110 Bq/kg (bersamaan 0.063 - 0.1 Bq/g) untuk thorium.

Apa itu radioaktif?

Radioaktif atau sinaran yang terhasil daripada bahan radioaktif ialah satu bentuk tenaga yang dipancarkan oleh atom atau molekul yang disebarkan melalui ruang atau jirim sebagai partikel/zarah ataupun gelombang elektromagnet.

Sinaran mempunyai pelbagai istilah antaranya seperti gelombang cahaya, gelombang radio, sinar infra-red (haba), gelombang mikro dan sinar X.

Antara sinaran mengion yang wujud ialah zarah Alfa, zarah Beta, sinar Gamma, sinar X dan juga Neutron.

Bahan radioaktif ini terhasil melalui dua pendekatan iaitu ada bahan radioaktif semulajadi seperti uranium dan thorium dalam alam sekitar (tanah, pokok, air dan udara) dan yang satu lagi bahan radioaktif "buatan" manusia seperti Technitium-99m yang digunakan di dalam perubatan dan Iridium-192 yang digunakan di dalam industri termasuk penjanaan kuasa nuklear.

ISU LYNAS: Isu terkini yang melibatkan bahan radioaktif di Malaysia dan heboh diperdebatkan adalah mengenai projek Lynas. Secara ringkasnya, Lynas Malaysia Sdn Bhd ialah syarikat subsidiari milik penuh Lynas Corporation Ltd, Australia.

Perniagaannya berkaitan dengan pengeluaran serta penjualan nadir bumi.

Hasil dari pemprosesan nadir bumi sebenarnya digunakan oleh ratusan aplikasi industri contohnya bateri bagi komputer riba, telefon mudahalih serta kereta hibrid, tiub "cathode-rays" bagi monitor TV dan komputer, wayar "fibre-optic", aplikasi aeroangkasa sehingga ke magnet bagi penghasilan tenaga dari sumber angin.

Syarikat Lynas di Kuantan dijangka dapat menghasilkan hampir 30% dari bekalan dunia (di luar China) apabila mula beroperasi kelak.

Pertikaian masyarakat mengenai "residue" yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi (NORM - naturally occurring radioactive materials) yang dihasilkan.

Punca utama kebimbangan orang awam khususnya bagi masyarakat Pahang ialah Lynas bercadang untuk membawa masuk bijih Lathanid dari lombong Mount Weld di Australia Barat dan bijih tersebut akan diproses dan diekstrak di kawasan perindustrian Gebeng, Pahang.

Sisa sampingan yang bakal dihasilkan daripada proses pengesktrakan nadir bumi itu menyebabkan orang awam mempertikaikan ketelusan kerajaan dan agensi-agensi yang terlibat dalam menjamin keselamatan rakyat.

Malah, isu ini telah digembar-gemburkan oleh segelintir pihak yang sebenarnya bermotifkan politik semata-mata.

Apa yang dikesalkan, orang awam menjadi mangsa keadaan kerana mereka telah dihidangkan dengan maklumat yang mengelirukan sehingga menyebabkan mereka berfikir bahawa pemprosesan rare earth atau nadir bumi oleh Lynas adalah sama dengan pemprosesan syarikat Asian Rare Earth (ARE) dan peristiwa yang berlaku di syarikat Asian Rare Earth pada awal tahun 80'an yang lalu akan berulang.

Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian ARE berulang. Pelbagai agensi kerajaan, antaranya Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terjamin serta mutu alam sekitar sentiasa berada dalam keadaan baik dan terpelihara.

Orang awam mempersoalkan kredibiliti agensi-agensi bertanggungjawab yang terlibat antaranya tindakan AELB dalam mengeluarkan lesen serta sejauh mana ketelusan panel pakar bebas yang dijemput dalam memberi keputusan berhubung projek Lynas ini.

Sebenarnya dalam projek melibatkan pengilangan bahan radioaktif, kelulusan pembinaan akan diberi tetapi pemberian lesen operasi hanya akan diberi selepas syarikat Lynas mematuhi kesemua langkah serta syarat keselamatan yang telah dinyatakan dalam lesen dan juga dokumen Program Perlindungan Sinaran yang dibangunkan oleh syarikat berdasarkan keperluan yang termaktub dalam Akta 304 dan peraturan-peraturan subsidiarinya.

Malah, kerajaan juga telah menjemput panel pakar bebas antarabangsa dari negara yang tidak mempunyai kepentingan dengan projek Lynas ini bagi menjalankan kajian semula dari aspek kesihatan dan keselamatan. Ini membuktikan bahawa kerajaan Malaysia benar-benar telus dalam proses membuat keputusannya.

Sejauh manakah tahap selamat yang diwar-warkan itu adalah selamat?

Berdasarkan fakta serta analisis sampel-sampel yang telah dibuat oleh agensi-agensi yang bertanggunjawab, residue yang akan dihasilkan oleh projek Lynas adalah rendah iaitu 0.165% kandungan thorium [bersamaan dengan 1650 bahagian per juta [parts per million, (ppm)] iaitu bersamaan dengan 6.7 Becquerrel per gram[Bq/g] (atau 6500 Bq/kg). Ia 60 kali lebih rendah berbanding projek Asian Rare Earth yang mengandungi 10% kandungan thorium iaitu sebanyak 100,000 ppm (bersamaan dengan 406 Bq/g (atau 406,000 Bq/kg).

Kandungan thorium yang terdapat dalam residue Lynas, iaitu Water Leach Purification (WLP), menghasilkan dedahan sinaran sebanyak 0.002 mSv/tahun yang jauh lebih rendah dengan dedahan yang sepatutnya terdedah kepada orang awam sebanyak 1 mSv/tahun.

Sehubungan dengan itu, penduduk setempat khususnya yang tinggal di kawasan berhampiran kilang tersebut tidak perlu risau kerana projek itu tidak meninggalkan kesan kesihatan kepada mereka.

Tahap dedahan dos sinaran untuk orang awam adalah sebanyak 1 mSv/tahun atau 0.50 microSievert/jam (uSv/j).

Berdasarkan pemantauan dan kajian, orang awam yang tinggal di sekitar kawasan projek Lynas antaranya seperti di daerah Balok, Beserah, Sungai Ular dan Sungai Karang tidak perlu khuatir waima berasa bimbang kerana anggaran dos dedahan yang bakal diterima adalah sebanyak 0.002 mSv/tahun.

Malah, kajian yang dilaksanakan oleh badan bebas berkelayakan menunjukkan kadar dos dedahan maksimum yang dapat diukur di sekitar Kuantan ialah lebih 0.00012 milliSievert/jam saja (1000 microSievert = 1 milliSievert).

Kadar dos dedahan ini adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan kadar dos dedahan yang diterima sewaktu menjalani pemeriksaan CT Scan dan juga X-Ray dimana dos dedahan yang diterima sewaktu membuat CT Scan adalah sebanyak 6.9 mSv/dedahan iaitu bersamaan 41.4 mSv/jam (data dari Japan Atomic Industry Forum, JAIF) manakala sinar-X untuk dada (chest X-ray) pula ialah 0.5 mSv/dedahan iaitu bersamaan dengan 18,000 mSv/jam (UNSCEAR, 2000).

Bukan itu sahaja, lantai marmar yang kita pijak, cawan atau pinggan porselin yang kita guna, tanah yang anak-anak kita bermain, batu yang dipakai untuk membuat rumah dan pejabat sebenarnya mengandungi bahan-bahan yang mempunyai unsur-unsur radioaktif seperti thorium, uranium dan lain-lain lagi.

Tetapi, unsur-unsur tersebut hanya menyumbang kepada dos yang sangat rendah dan tidak menyebabkan ancaman terhadap kesihatan manusia.

Antara contoh penggunaan harian yang melibatkan kadar dos dedahan yang agak tinggi adalah seperti berikut:

Pinggan Porselin 0.000323 mSv/j (bahan kadar dos dedahan sejam)

Gelas 0.000227 mSv/j

Loket rantai yang diperbuat daripada gunung berapi (pendant) 0.002128 mSv/j

Tanah 0.000227 mSv/j

Pasir 0.000161 mSv/j

Batu-Bata Simen 0.000257 mSv/j

Batu Bata Merah 0.000239 mSv/j

Sumber: Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia

Kegunaan Sinaran: Sinaran sebenarnya banyak digunakan dalam industri perubatan di mana sinar Gamma dari kobalt-60 digunakan untuk membunuh sel-sel barah dalam rawatan radioterapi dan digunakan juga untuk membunuh kuman dalam proses pensterilan alat perubatan seperti termometer, jarum dan picagari suntikan, alat pembedahan dan sebagainya.

Sinaran radioaktif daripada radioisotop turut digunakan untuk membunuh serangga perosak.

Sinaran juga digunakan dalam sistem pengawalan ketebalan secara automatic dalam pembuatan kertas, kepingan plastik dan kepingan logam.

Dalam industri pembungkusan makanan dan minuman, teknologi sinaran dimanfaatkan bagi tujuan pengukuran kandungan yang tepat dan pengesanan bendasing yang boleh memudaratkan kita.

Pek atau tin yang mengandungi sebarang bendasing atau mempunyai kandungan kurang daripada yang ditetapkan akan secara spontan disingkirkan. Imbasan sinar-x turut mampu mengesan sebarang ketidakseragaman pada susunan lilitan keluli radial di tayar kenderaan yang tidak kelihatan pada mata kasar.

Di Malaysia, Lynas (M) Sdn Bhd bukanlah satu-satunya syarikat yang menjalankan aktiviti pemprosesan mineral. Antara syarikat lain yang menjalankan aktiviti tersebut ialah Petronas Carigali (M) Sdn Bhd, TOR Mineral (M) Sdn Bhd, Tioxide Hunstman (M) Sdn Bhd dan Samsung Corning (M) Sdn Bhd.

Selain Malaysia, aktiviti pemprosesan nadir bumi turut dijalankan di Afrika, India, Kanada, Vietnam, China dan Brazil.

Justeru, adalah tidak adil sekiranya sinaran dikatakan mendatangkan bahaya sahaja. Hakikatnya sinaran telah membawa banyak faedah kepada manusia terutamanya dalam rawatan dan diagnostik ke atas penyakit kanser.

-- BERNAMA

Students of Riseisha High School in Osaka visit SMK Sri Tebrau in JB

JOHOR BARU: Eighty Japanese students and teachers from the Riseisha High School in Osaka received a warm welcome from students of SMK Sri Tebrau here.

They were greeted with a lion dance, dragon dance, silat and kompang performed by students upon arrival at the school recently.

Time to sing: Takashi Tanibayashi entertaining his new friends from SMK Sri Tebrau in Johor Baru recently.

This was followed with several other performances including the Johor traditional zapin dance.

The trip gave the 75 students and four teachers an insight on Malaysian culture, traditional games and food of the three major races.

“I have heard so much about Malaysia, the beautiful scenery, friendly people and multi-racial culture, and am happy to see the real Malaysia today.

Handicraft: The Japanese students teaching their Malaysian friends the art of paper folding.

“It’s a wonderful trip for me and the first time I'm meeting people of another country,” said Taiki Ishikura, 16.

Ishikura said he would like to know how classes were conducted in Malaysian schools.

During their three hours at the school, the students tried their hands at batik-making, and played congkak and sepak takraw.

In return, they taught origami, the Japanese art of paper folding, to the Malaysian students.

“The dances are interesting and the food is yummy.

Roaring welcome: The Japanese students and teachers from Riseisha High School in Osaka being greeted with a lion dance.

“This is my first trip to Malaysia and I have fallen in love with the country,” said Maiko Hada, 17.

Form Five student Melvin Chew picked up some Japanese words for the occasion.

“A few friends of mine are studying the language, and I asked them to teach me a few words to communicate with the guests.

“The Japanese are polite and willing to learn new things. We should adopt this spirit,” he said.

Form Four student Norazizah Md Yusup, who was keen to study in Japan, grabbed the opportunity to find out more about the country.

“I admire their advancements in science and technology. I can learn a lot from the Japanese,” she said.

She said she exchanged addresses with her new friends to continue the friendship.

The school's Parent-Teacher Association chairman Michael Tay said the programme could foster a better relationship between students and educationists of the two countries.

He proposed that the Education Ministry organise events for our students to visit Japan or other countries.



Students of Riseisha High School in Osaka visit SMK Sri Tebrau in JB

Saturday, June 18, 2011

Perjalanan lebih pantas ke JB, pusat bandar menjelang 2018



[B]MRT Laluan Thomson dirancang bermula di Politeknik Republic dan dijangka disambung dengan sistem transit pantas ke Johor
[/B]
PARA penduduk di Woodlands, Admiralty dan bahagian utara Singapura yang mahu ke Johor Bahru atau ke pusat bandar akan menikmati perjalanan yang lebih pantas menjelang 2018.

Ini kerana Laluan Thomson (TSL) sepanjang 30 kilometer yang bermula di Politeknik Republic dan melalui stesen MRT Woodlands akan menghubungkan para penduduk ke Ang Mo Kio, Sin Ming, Thomson dan pusat bandar.

Laluan sistem transit pantas (RTS) pula akan menghubungkan Tanjung Puteri, Johor Bahru, ke laluan Thomson (TSL) di Poliktenik Republic.

Malah para penduduk di Woodlands juga masih boleh memilih meneruskan perjalanan menerusi Laluan Utara Selatan (NSL) ke Yishun, Orchard Road dan City Hall dengan membuat pertukaran di stesen MRT Woodlands.

Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) dalam kenyataan bersama semalam, pembinaan TSL merupakan sebahagian rancangan membangunkan sistem rangkaian rel yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan perjalanan masa depan.

'Semua Laluan TSL adalah terowong bawah tanah dan akan melintasi koridor Utara-Selatan dari Woodlands menerusi kawasan pusat bandar ke Marina Bay. Terdapat rancangan bagi membina pusat pertukaran di stesen MRT Woodlands sekarang, dan bagi pembinaan stesen terminal di bahagian paling utara berdekatan Politeknik Republic.

'Laluan sistem transit pantas (RTS) yang sedang dicadangkan antara Singapura dengan Johor Bahru dirancang disambungkan dengan TSL di stesen terminal di bahagian paling utara (Politeknik Republic). Satu kajian kejuruteraan terperinci kini sedang dijalankan bagi TSL,' menurut kenyataan itu lagi.

Sebagai permulaan, sebuah Depoh TSL akan mula dibina menjelang akhir 2012 di Mandai.

Depoh seluas 32 hektar itu akan berupaya menempatkan sehingga 90 rel dan menempatkan Pusat Kawasan Operasi dan menyediakan kemudahan mengandangkan dan penyenggaraan rel.

Perincian mengenai stesen-stesen TSL yang lain hanya akan dikeluarkan selepas kajian menyeluruh mengenainya diselesaikan, menurut kenyataan itu lagi.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Kong Cho Ha, sebelum ini berkata Malaysia dan Singapura sedang menimbangkan membina terowong bawah laut bagi laluan RTS menyeberangi Selat Johor sepanjang kira-kira 1.5 kilometer menghubungkan Tanjung Puteri dengan Woodlands.

Dua cadangan lain ialah membina sebuah jambatan dan sebuah tambak.

'Pembinaan terowong merupakan cara paling mesra alam sekitar tetapi ia memakan kos yang lebih tinggi. Cara paling murah ialah membina sebuah tambak tetapi ia bukan pilihan yang baik dari segi alam sekitar.

'Kalau kita bina jambatan pula ia perlu dilengkapkan dengan pagar khas bagi membolehkan kapal melaluinya,' katanya.

Dalam pada itu, Datuk Kong berkata RTS akan memudahkan hubungan antara rakyat Malaysia dengan Singapura pada masa depan.

Sementara itu ketika dihubungi, seorang penduduk di Admiralty, Cik Liza Ahmad, berkata beliau ghairah menanti pembinaan TSL dan RTS yang akan memudahkan perjalanannya ke Johor Bahru.

'Dengan kesesakan yang sering berlaku di Koswe, sebarang perjalanan alternatif amat dialu-alukan,' ujarnya lagi.