Saturday, June 18, 2011

Perjalanan lebih pantas ke JB, pusat bandar menjelang 2018



[B]MRT Laluan Thomson dirancang bermula di Politeknik Republic dan dijangka disambung dengan sistem transit pantas ke Johor
[/B]
PARA penduduk di Woodlands, Admiralty dan bahagian utara Singapura yang mahu ke Johor Bahru atau ke pusat bandar akan menikmati perjalanan yang lebih pantas menjelang 2018.

Ini kerana Laluan Thomson (TSL) sepanjang 30 kilometer yang bermula di Politeknik Republic dan melalui stesen MRT Woodlands akan menghubungkan para penduduk ke Ang Mo Kio, Sin Ming, Thomson dan pusat bandar.

Laluan sistem transit pantas (RTS) pula akan menghubungkan Tanjung Puteri, Johor Bahru, ke laluan Thomson (TSL) di Poliktenik Republic.

Malah para penduduk di Woodlands juga masih boleh memilih meneruskan perjalanan menerusi Laluan Utara Selatan (NSL) ke Yishun, Orchard Road dan City Hall dengan membuat pertukaran di stesen MRT Woodlands.

Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) dalam kenyataan bersama semalam, pembinaan TSL merupakan sebahagian rancangan membangunkan sistem rangkaian rel yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan perjalanan masa depan.

'Semua Laluan TSL adalah terowong bawah tanah dan akan melintasi koridor Utara-Selatan dari Woodlands menerusi kawasan pusat bandar ke Marina Bay. Terdapat rancangan bagi membina pusat pertukaran di stesen MRT Woodlands sekarang, dan bagi pembinaan stesen terminal di bahagian paling utara berdekatan Politeknik Republic.

'Laluan sistem transit pantas (RTS) yang sedang dicadangkan antara Singapura dengan Johor Bahru dirancang disambungkan dengan TSL di stesen terminal di bahagian paling utara (Politeknik Republic). Satu kajian kejuruteraan terperinci kini sedang dijalankan bagi TSL,' menurut kenyataan itu lagi.

Sebagai permulaan, sebuah Depoh TSL akan mula dibina menjelang akhir 2012 di Mandai.

Depoh seluas 32 hektar itu akan berupaya menempatkan sehingga 90 rel dan menempatkan Pusat Kawasan Operasi dan menyediakan kemudahan mengandangkan dan penyenggaraan rel.

Perincian mengenai stesen-stesen TSL yang lain hanya akan dikeluarkan selepas kajian menyeluruh mengenainya diselesaikan, menurut kenyataan itu lagi.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Kong Cho Ha, sebelum ini berkata Malaysia dan Singapura sedang menimbangkan membina terowong bawah laut bagi laluan RTS menyeberangi Selat Johor sepanjang kira-kira 1.5 kilometer menghubungkan Tanjung Puteri dengan Woodlands.

Dua cadangan lain ialah membina sebuah jambatan dan sebuah tambak.

'Pembinaan terowong merupakan cara paling mesra alam sekitar tetapi ia memakan kos yang lebih tinggi. Cara paling murah ialah membina sebuah tambak tetapi ia bukan pilihan yang baik dari segi alam sekitar.

'Kalau kita bina jambatan pula ia perlu dilengkapkan dengan pagar khas bagi membolehkan kapal melaluinya,' katanya.

Dalam pada itu, Datuk Kong berkata RTS akan memudahkan hubungan antara rakyat Malaysia dengan Singapura pada masa depan.

Sementara itu ketika dihubungi, seorang penduduk di Admiralty, Cik Liza Ahmad, berkata beliau ghairah menanti pembinaan TSL dan RTS yang akan memudahkan perjalanannya ke Johor Bahru.

'Dengan kesesakan yang sering berlaku di Koswe, sebarang perjalanan alternatif amat dialu-alukan,' ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment