Singapura 15 Jul 2011 : Saranan Editor BH/BM dirasa tepat pada masanya, perlu dilaksana
Oleh
Hisham Hasim Dan Linilidia Abdul Hamid
SARANAN agar disemak pengajaran dan penggunaan sebutan baku bahasa Melayu tepat pada masanya dan harus dilaksana.
Ini kerana sebutan baku tidak digunakan dalam perbualan harian, sebaliknya terhad dalam bilik darjah dan media massa.
Demikian pandangan beberapa anggota masyarakat Melayu berhubung saranan Editor Berita Harian/Berita Minggu, Encik Mohd Guntor Sadali, itu.
Membuat saranan itu dalam berucap di majlis Anugerah Jauhari anjuran Berita Harian/Berita Minggu kelmarin, Encik Mohd Guntor berkata penggunaan sebutan baku di sini sejak hampir dua dekad lalu tidak menunjukkan kemajuan.
Mereka yang dihubungi akhbar ini turut bersetuju dengan pandangan Encik Mohd Guntor bahawa usaha membakukan ejaan baik dan perlu disokong.
Yang menjadi 'masalah' ialah aspek sebutan baku, kata mereka.
Mantan ketua Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Melayu di Institut Pendidikan Nasional (NIE)-Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Madya Kamsiah Abdullah, berkata: 'Sebutan bahasa Melayu dalam percakapan harian berdasarkan loghat Riau Johor adalah sebutan yang telah pun baku.
'Perlu disedari bahawa gerakan sebutan baku di Singapura bukanlah usaha pembakuan sebutan bahasa Melayu tetapi mengubah sebutan bahasa Melayu yang telah sedia baku kepada suatu bentuk baru yang tiada penutur jatinya.
'Tiada suatu kelompok besar ataupun kecil yang menggunakannya (sebutan baku sekolah sekarang) dalam kehidupan sehari-sehari, di luar dari bilik darjah bahasa Melayu.'
Profesor Madya Kamsiah berkata beliau bersyukur kerana akhirnya masyarakat sedar usaha hampir 20 tahun membakukan sebutan bahasa Melayu 'perbuatan sia-sia'.
Memberikan reaksinya, pengerusi Angkatan Karyawan Islam (AMP), Encik Nizam Ismail, berpendapat bahawa sudah tiba masanya pemerintah menyemak dasar penggunaan sebutan baku itu.
'Sejak sekian lama sebutan baku masih tidak digunakan masyarakat am dan hanya terbatas pada ruang formal.
'Oleh itu, ia tentunya sesuatu usaha yang tidak berkesan.
'Sebutan bahasa yang digunakan haruslah mencerminkan realiti kehidupan dan identiti sebenar masyarakat Melayu kita.
'Tentu sekali sebutan baku tidak menonjolkan sedemikian,' kata Encik Nizam, seorang peguam.
Seorang pensyarah politeknik, Cik Nur Dian Mohamad Rasid, berpendapat tekanan yang dirasai untuk bertutur dalam sebutan baku sesuatu yang 'tidak perlu wujud', yang hanya membataskan keupayaan seseorang itu meluahkan pemikirannya.
'Ia juga mengurangkan keyakinan diri seseorang itu untuk bertutur dalam bahasa Melayu, yang seharusnya digunakan secara natural sebagaimana yang kita tutur hari-hari,' kata Cik Dian.
Isu mengenai penggunaan sebutan baku telah banyak kali ditimbulkan sebelum ini dalam forum akhbar dan perbincangan bahasa serta di ruang siber seperti di Facebook.
Ramai melahirkan rasa 'lega' mengenai saranan Encik Mohd Guntor itu dan berkata semakan harus dilakukan kerana sudah terlalu lama.
Sebuah laman Facebook bertajuk 'Beku Baku' turut dibangunkan baru-baru ini bagi tujuan serupa.
Menyuarakan pandangannya, Ketua Pegawai Kreatif, Mini Monsters, sebuah syarikat yang menjalankan program pengayaan bahasa Melayu di sekolah-sekolah, Cik Rilla Melati Bahri, berkata penggunaan sebutan baku menyukarkan dan tidak menambah nilai kepada para pelajar yang berusaha menjiwai semangat bahasa itu sendiri.
'Di rumah kita bercakap Melayu loghat Riau, tetapi di sekolah ia terpaksa berubah.
'Sebagai pengacara, saya berbahasa baku tetapi penonton atau peserta yang menyertai program saya tidak berbuat demikian, jadi ini satu kejanggalan,' katanya.
No comments:
Post a Comment