Wednesday, July 25, 2012

Kawan sekolahku.. Ibu maut kempunan makan durian


24hb July 2012,

Hari ini aku teramat lah sedih, kerana menerima khabar berita dari seorang kawan sekolah lama, ingatkan khabar berita yang baik, rupanya sebaliknya.. Bukan setakat itu sahaja, aku juga menerima khabar berita dari adik aku, memberitahu minggu yang sama mak cik aku pun meninggal dunia.. Dimasa aku menulis ini, aku terasa amat sedih, terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan kawan sekolah lama, kenapa aku bersedih? kerana dia amat mesra dan baik hati.. Dia benar2 nak jumpa dan masakkan untuk aku.. walaupun dia sibuk menguruskan peniagaan dia, dia masih ada masa untuk menulis dan bertanya khabar berita aku di facebook.. Allah S.W.T lebih menyanyagi dirinya.. Aku hanya mampu berdoa untuk roh Arwah Roslinda Wahab, ditempatkan digolongan orang-orang yang beriman..

Dibawah ini adalah berita yang disiarkan didalam berita Metro Edisi Utara.. Al-Fatihah..


LENGGONG: “Mak memang gemar makan durian. Selepas pulang dari sekolah, dia mengajak saya ke rumah datuk di Lenggong untuk makan durian sepuas-puasnya,” kata Siti Nor Syafyiqa Abdullah, 14, yang terselamat daripada kemalangan maut, di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 2.15 petang di Kilometer 1, Jalan Kuala Kangsar-Gerik di depan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sauk, Kuala Kangsar, ketika dia membonceng motosikal ibunya, Roslinda Wahab, 35.


Mangsa bersama ibunya, menunggang motosikal jenis Demak dari rumahnya di Taman Kuala Kangsar ke Lenggong sejauh 100 kilometer kerana mahu makan durian.

“Sebelum kejadian, saya lihat tidak ada kereta di sana kerana jalan lurus dan lebar. Tetapi, tiba-tiba saja sebuah kereta muncul dan berhenti betul-betul di depan orang menjual durian menyebabkan ibu gagal mengawal motosikal lalu melanggar kereta berkenaan.


“Saya tercampak ke bawah kereta, tetapi masih sedar dan berasa sakit. Tetapi ibu yang tercampak ke tengah jalan dirempuh kereta lain yang datang dari arah belakang,” katanya ketika ditemui di rumah datuknya di Kampung Banggol Batu, Lenggong, di sini, semalam.


Akibat kemalangan itu, Siti hanya cedera di muka dan dirawat di Klinik Kesihatan Lenggong dan kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, untuk rawatan susulan sebelum dibenarkan pulang.

Ibunya yang cedera di beberapa bahagian badan meninggal dunia di tempat kejadian.


Sementara itu, suami mangsa yang mahu dikenali sebagai Budi, 37, yang bekerja di Klang, Selangor berkata, dia menerima panggilan daripada anaknya kira-kira jam 2.30 petang memaklumkan mengenai kemalangan itu.

“Sebelum kejadian, isteri ada menghubungi saya jam 1.45 tengah hari ketika dia hendak bertolak dengan motosikal ke rumah bapa di Lenggong.


“Dia berpesan kepada saya supaya ibu dan bapa saya menyimpan durian dengan banyak kerana dia kempunan mahu makan durian kegemarannya itu, malah bercadang membawa balik ke rumah di Kuala Kangsar,” katanya.


Dia yang pulang ke Kuala Kangsar antara dua hingga tiga minggu dan tidak bercadang untuk membawa keluarganya ke Klang dan akan membuat laporan kejadian itu di IPD Kuala Kangsar hari ini (Jumaat).


Bagaimanapun, dia menerima takdir itu dan jenazah isterinya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Banggol Batu, Lenggong selepas Zuhur semalam, selepas dibedah siasat di Hospital Kuala Kangsar.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/20

No comments:

Post a Comment