Monday, July 18, 2011

Bunuh kawan pasal bilik air

Oleh NASRI JAMALUDIN
mohdnasri.jamaludin@kosmo.com.my

MOHD. HASNAN menunjukkan bilik air yang menjadi tempat Juli mati ditikam rakannya di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Seorang lelaki Indonesia bertindak membunuh rakannya hanya kerana mangsa enggan membenarkannya menggunakan bilik air dalam kejadian di Jalan Pantai, Kampung Bakar Batu di sini semalam.

Kejadian pukul 6.30 pagi itu menyebabkan buruh yang dikenali sebagai Juli, 37, mati akibat ditikam di dada dengan pisau pemotong sayur.

Sebelum kejadian, suspek mengetuk pintu bilik air dan meminta Juli yang sedang mandi supaya keluar kerana dia ingin mengambil wuduk bagi menunaikan solat Subuh.

Geram dengan tindakan mangsa yang enggan menuruti kehendaknya, suspek berusia 30-an itu bertindak menendang pintu lalu berlaku pertengkaran.

Suspek yang gagal mengawal emosi kemudian mengambil sebilah pisau lalu menikam mangsa sebelum melarikan diri.

Rumah yang mempunyai dua bilik itu disewa mangsa bersama isterinya. Pemilik rumah berkenaan, Mohd. Hasnan Anbia, 31, berkata, dia bergegas ke situ sebaik terdengar bunyi wanita menjerit dan menangis.

Al-Fatihah

Saturday, July 16, 2011

Marilah bertutur tanpa canggung atau dipaksa-paksa

SINGAPURA 15 Jul 2011; Ucapan Editor Berita Harian/Berita Minggu, Encik Mohd Guntor Sadali, di majlis Anugerah Jauhari di Hotel Shangri-La malam kelmarin.

'SALAH satu kesan nyata daripada Pilihan Raya yang lalu ialah negara kita perlu menyemak beberapa amalan dan dasar-dasar sekarang.

Semakan ini dijangka membawa idea-idea baru untuk membaiki lagi dasar- dasar yang mungkin lapuk dan tidak berkesan.

Beberapa amalan yang gagal memperolehi keputusan yang diinginkan juga perlu dihapuskan.

Atas kesedaran ini, saya ingin mengambil peluang malam ini untuk menyentuh sesuatu yang dekat di hati - iaitu bahasa Melayu.

Kita kini sedang menyambut Bulan Bahasa 2011. Ia merupakan acara penting yang mempromosikan penggunaan bahasa Melayu. Dan Berita Harian merupakan salah satu penyokong kuat Bulan Bahasa.

Terdapat satu perkembangan besar dalam sejarah bahasa Melayu di negara ini, iaitu satu usaha oleh tiga negara - Indonesia, Malaysia dan Singapura - untuk membakukan penggunaan bahasa Melayu.

Ia berlaku pada awal 1990-an dan merangkumi dua aspek - penulisan dan sebutan.

Saya memang setuju dengan penulisan bahasa Melayu yang dibakukan. Malah, ia telah dilaksanakan dengan berjaya sejauh ini. Semua sekolah dan media cetak kini menggunakan ejaan baku.

Terdapat beberapa peraturan khusus dalam ejaan Melayu, tetapi terdapat pengecualian bagi peraturan ini.

Sekiranya timbul keraguan, kita boleh merujuk kepada buku panduan ejaan baku yang dihasilkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di Malaysia. Ejaan baku telah dilaksanakan dengan baik.

Namun, perkara yang serupa tidak berlaku bagi sebutan baku. Sejak dahulu lagi saya mempunyai keraguan mengenai sistem sebutan baku sejak ia dilaksanakan pada 1993 di sekolah rendah dan pada 1994 bagi sekolah menengah.

Sebab utama ialah, tidak seperti orang Melayu di Malaysia yang bertutur loghat berbeza bahasa Melayu, bergantung kepada negeri asal mereka, masyarakat Melayu setempat telah pun bertutur dalam versi baku iaitu Melayu Johor-Riau.

Orang Melayu di Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang, sebagai contoh, bertutur bahasa Melayu yang berbeza berbanding orang Melayu lain di Malaysia, dan kita sendiri sukar untuk memahami mereka.

Namun, ia amat berbeza dengan orang Melayu di Singapura. Kita mungkin tinggal di Woodlands, Bedok, Sengkang atau Jurong, tetapi kita bertutur bahasa Melayu yang sama, iaitu Melayu Johor-Riau.

Malah, ini juga merupakan bentuk baku. Ia bukan sahaja ditutur secara biasa di rumah, malah cara sebutan itu diajar di sekolah. Bentuk serupa juga digunakan oleh media penyiaran nasional.

Namun, percubaan untuk mengubahnya dibuat apabila sebutan baku diperkenalkan. Secara tiba-tiba, apa yang dianggap sebagai bahasa yang ditutur secara baku dianggap tidak cukup baik sebagai alat perhubungan.

Dengan perubahan dibuat dalam sistem ejaan baku, kanak-kanak diajar dengan ketat untuk menyebut perkataan mengikut ejaannya. Menyusulinya, media penyiaran menerima sebutan Melayu baku baru ini.

Kini, selepas dua dekad sebutan baku di sekolah-sekolah diperkenalkan, saya fikir sudah tiba masanya untuk kita memikirkan dengan mendalam matlamat yang ingin diraih dan bertanya sama ada ia wajar, selain kita perlu meninjau semula keberkesanannya.

Saya secara jujur percaya kita tidak bergerak maju dalam sebutan baku. Sekiranya ada, kita hanya berjaya merumitkan lagi pembelajaran bahasa ibunda.

Akibatnya, kita kini ada dua sebutan Melayu - satu yang diajar di bilik darjah dan yang digunakan dalam situasi formal, dan satu dalam dalam perbualan seharian.

Saya diberitahu bahawa di sekolah- sekolah, pelajar dan guru akan menggunakan Melayu Johor-Riau, dan tidak terus menggunakan baku, sebaik sahaja mereka melangkah keluar dari bilik darjah.

Dan jika anda mendengar stesen radio Melayu atau saluran berita TV Melayu, anda akan dapati bahawa penggunaan baku hanya tertumpu kepada sebutan 'a' tetapi bukan vokal yang lain.

Kita perlu hadapi kenyataan yang pahit - selepas dua dekad mempromosikan penggunaan Melayu baku, tiada, atau mungkin sejumlah kecil individu Melayu, selesa dan efektif dalam menggunakannya setiap hari.

Malah di Malaysia, percubaan memperkenalkan sebutan baku juga sia-sia. Media penyiaran mereka telah kembali menggunakan versi awal sebutan Melayu baku.

Lantas persoalannya ialah perlukah kita meneruskan amalan pengajaran sebutan baku di sekolah-sekolah? Bagi saya, ia merupakan usaha sia-sia.

Salah satu hujah yang saya sering dengar ialah pelajar bukan Melayu mendapati sukar untuk memahami logik sebutan Melayu Johor-Riau menerusi ejaannya. Lantas sebutan Melayu baku boleh membantu pelajar-pelajar ini mempelajari bahasa Melayu dengan lebih mudah kerana sistem itu berdasarkan ejaan.

Tidakkah kita perlu lebih prihatin tentang bagaimana masyarakat kita mempelajari dan menggunakan bahasa kita sendiri daripada lebih bimbang mengenai bagaimana masyarakat lain mempelajarinya?

Saya tidak melihat orang Perancis, Jerman, Jepun atau orang Inggeris, sebagai contoh, mengambil langkah serupa untuk memudahkan orang lain mempelajari dan bertutur bahasa mereka.

Lantas agak aneh, bahawa kita, orang Melayu, terlalu bimbang mengenai orang bukan Melayu mempelajari bahasa kita. Dan kesediaan kita mengubah cara kita bertutur hanya untuk memudahkan pembelajaran orang lain, amat memelikkan.

Apa yang ingin saya tekankan ialah 'Marilah kita bertutur bahasa Melayu secara biasa. Marilah kita bercakap dengan cara yang membolehkan perkataan itu dapat ditutur dengan mudah tanpa kedengaran canggung atau dipaksa-paksa'.

Saya percaya bagi ramai Melayu, pilihan mereka ialah versi Johor-Riau, dan bukan sebutan baku, kerana bagi kebanyakan Melayu, ini merupakan bahasa yang digunakan oleh ibu bapa dan datuk nenek untuk berhubungan dengan kita sejak kita dilahirkan. Dan menerusi Melayu Johor-Riau jugalah kita boleh berhubungan dengan anak-anak dan cucu-cicit kita.

Kita tidak perlu membebankan anak- anak mempelajari sebutan dengan cara yang dianggap asing kepada lidah mereka, sesuatu yang mereka ketepikan sebaik sahaja mereka keluar dari bilik darjah.

Percubaan itu bukan sahaja tidak perlu malah membazir sumber.

Bagi saya, selagi bahasa Melayu yang dituturkan difahami oleh masyarakat dan berupaya menyatukan rakyat sebagai satu bangsa, itulah bahasa Melayu yang patut kita terus gunakan, pelajari dan promosikan kepada anak-anak, selain penutur bukan Melayu.

Apabila kita bercakap dalam versi Johor- Riau - yang kita gunakan sekarang - kita sebenarnya menggunakan Melayu baku. Ia merupakan bahasa baku yang difahami dan selesa digunakan semua orang. Tidak perlu mencipta satu cara bertutur yang berbeza.

Izinkan saya mengakhiri ucapan saya dengan melahirkan harapan agar orang Melayu dapat bertutur bahasa Melayu secara biasa.

Lantas sekiranya saya ingin berkata 'I like to eat burgers', kita berkata Saya suka makan burger, dan bukan Saya suka makan bur-ger dalam sebutan baku.

(Deraian ketawa hadirin)

Anda mentertawakan saya. Itulah perkara yang ingin saya sampaikan. Kita tidak seharusnya ditertawakan apabila kita bertutur bahasa kita sendiri.

Cukuplah hujah saya.'

Akur sebutan baku bahasa Melayu hambat penutur, harus dihenti

Singapura 15 Jul 2011 : Saranan Editor BH/BM dirasa tepat pada masanya, perlu dilaksana

Oleh
Hisham Hasim Dan Linilidia Abdul Hamid

SARANAN agar disemak pengajaran dan penggunaan sebutan baku bahasa Melayu tepat pada masanya dan harus dilaksana.

Ini kerana sebutan baku tidak digunakan dalam perbualan harian, sebaliknya terhad dalam bilik darjah dan media massa.

Demikian pandangan beberapa anggota masyarakat Melayu berhubung saranan Editor Berita Harian/Berita Minggu, Encik Mohd Guntor Sadali, itu.

Membuat saranan itu dalam berucap di majlis Anugerah Jauhari anjuran Berita Harian/Berita Minggu kelmarin, Encik Mohd Guntor berkata penggunaan sebutan baku di sini sejak hampir dua dekad lalu tidak menunjukkan kemajuan.

Mereka yang dihubungi akhbar ini turut bersetuju dengan pandangan Encik Mohd Guntor bahawa usaha membakukan ejaan baik dan perlu disokong.

Yang menjadi 'masalah' ialah aspek sebutan baku, kata mereka.

Mantan ketua Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Melayu di Institut Pendidikan Nasional (NIE)-Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Madya Kamsiah Abdullah, berkata: 'Sebutan bahasa Melayu dalam percakapan harian berdasarkan loghat Riau Johor adalah sebutan yang telah pun baku.

'Perlu disedari bahawa gerakan sebutan baku di Singapura bukanlah usaha pembakuan sebutan bahasa Melayu tetapi mengubah sebutan bahasa Melayu yang telah sedia baku kepada suatu bentuk baru yang tiada penutur jatinya.

'Tiada suatu kelompok besar ataupun kecil yang menggunakannya (sebutan baku sekolah sekarang) dalam kehidupan sehari-sehari, di luar dari bilik darjah bahasa Melayu.'

Profesor Madya Kamsiah berkata beliau bersyukur kerana akhirnya masyarakat sedar usaha hampir 20 tahun membakukan sebutan bahasa Melayu 'perbuatan sia-sia'.

Memberikan reaksinya, pengerusi Angkatan Karyawan Islam (AMP), Encik Nizam Ismail, berpendapat bahawa sudah tiba masanya pemerintah menyemak dasar penggunaan sebutan baku itu.

'Sejak sekian lama sebutan baku masih tidak digunakan masyarakat am dan hanya terbatas pada ruang formal.

'Oleh itu, ia tentunya sesuatu usaha yang tidak berkesan.

'Sebutan bahasa yang digunakan haruslah mencerminkan realiti kehidupan dan identiti sebenar masyarakat Melayu kita.

'Tentu sekali sebutan baku tidak menonjolkan sedemikian,' kata Encik Nizam, seorang peguam.

Seorang pensyarah politeknik, Cik Nur Dian Mohamad Rasid, berpendapat tekanan yang dirasai untuk bertutur dalam sebutan baku sesuatu yang 'tidak perlu wujud', yang hanya membataskan keupayaan seseorang itu meluahkan pemikirannya.

'Ia juga mengurangkan keyakinan diri seseorang itu untuk bertutur dalam bahasa Melayu, yang seharusnya digunakan secara natural sebagaimana yang kita tutur hari-hari,' kata Cik Dian.

Isu mengenai penggunaan sebutan baku telah banyak kali ditimbulkan sebelum ini dalam forum akhbar dan perbincangan bahasa serta di ruang siber seperti di Facebook.

Ramai melahirkan rasa 'lega' mengenai saranan Encik Mohd Guntor itu dan berkata semakan harus dilakukan kerana sudah terlalu lama.

Sebuah laman Facebook bertajuk 'Beku Baku' turut dibangunkan baru-baru ini bagi tujuan serupa.

Menyuarakan pandangannya, Ketua Pegawai Kreatif, Mini Monsters, sebuah syarikat yang menjalankan program pengayaan bahasa Melayu di sekolah-sekolah, Cik Rilla Melati Bahri, berkata penggunaan sebutan baku menyukarkan dan tidak menambah nilai kepada para pelajar yang berusaha menjiwai semangat bahasa itu sendiri.

'Di rumah kita bercakap Melayu loghat Riau, tetapi di sekolah ia terpaksa berubah.

'Sebagai pengacara, saya berbahasa baku tetapi penonton atau peserta yang menyertai program saya tidak berbuat demikian, jadi ini satu kejanggalan,' katanya.