RUMAH penduduk Kampung Tebrau Bakar Batu akan dipindahkan bagi melaksanakan projek Iskandar Malaysia.
Penduduk Tebrau Bakar Batu bimbang pembangunan kikis status
JOHOR BAHRU: Menganggapnya sebagai kampung yang kaya dengan warisan, penduduk di penempatan Kampung Tebrau Bakar Batu, di sini mengharapkan sebarang bentuk pembangunan yang ingin dilakukan di kawasan berkenaan tidak mengancam kehidupan mereka.
Malah, mereka juga berdoa semoga penempatan yang diduduki dan bakal melalui proses pembangunan itu tidak akan meminggirkan hak dan keistimewaan penduduk, apatah lagi rasa sayang terhadap penempatan berusia lebih 100 tahun itu tidak dapat dinafikan lagi.
Semua penduduk yang terbabit difahamkan bakal dipindahkan ke penempatan baru iaitu di tapak sekitar kawasan yang dibangunkan sebaik saja penempatan baru berkenaan siap dan penduduk dipastikan tidak akan melalui proses pemindahan sementara.
Penduduk sejak lebih 30 tahun lalu, Norwati Ahmad, 55, berkata mereka tidak menghalang sebarang bentuk pembangunan yang ingin dilakukan di kawasan mereka, namun masih mengharapkan pihak yang terbabit supaya bersikap lebih telus mengenai masa depan mereka.
KAMPUNG Tebrau Bakar Batu yang terbabit dengan projek Iskandar Malaysia.
Katanya, impak dan manfaat yang bakal diperoleh penduduk seharusnya menjadi tajuk utama jika benar pihak yang terbabit bercadang untuk membangunkan penempatan mereka sekali gus mengambil kira kepentingan penduduk yang sudah lama menetap di sana.
“Terus terang, kami tidak menerima penerangan secara jelas bentuk pembangunan yang bakal dilakukan di penempatan kami, namun dalam masa sama tetap berharap supaya pihak yang berkenaan menilai semula keistimewaan yang ada di kampung ini.
“Secara dasarnya, kami menyayangi kampung ini apatah lagi ia antara kampung yang tertua di Johor Bahru dan kerana itu bila projek ingin dibangunkan, bayangan mengenai status kampung tradisional terhakis sama sekali,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Ali Awang, 60, berkata walaupun pembangunan yang bakal dilakukan berkenaan akan membantu menaikkan lagi taraf bandar raya di negeri ini, namun usaha untuk menghapuskan warisan nenek moyang mereka adalah perlu dipertimbangkan.
“Kami sedih sebenarnya mengetahui kampung yang menjadi warisan untuk generasi masa depan seakan-akan dipinggirkan keistimewaannya sekali gus berharap masih ada ruang yang dapat membantu kami menghidupkan kembali suasana kampung ini.
“Justeru, pembangunan yang ingin dirancang bukan menjadi halangan kepada kami, namun kami masih berharap supaya penempatan baru kami itu akan tetap di kawasan sama kerana kami ingin mengekalkan tradisi kampung ini sampai bila-bila,” katanya.
Rakan sekampung, Fazli Adnan, 38, berkata lebih 1,000 penduduk di kampung mereka sedikit berasa terjejas dengan pembangunan yang bakal dilakukan berikutan penempatan mereka banyak menyimpan pelbagai memori pahit dan manis di kalangan mereka.
“Apa daya kami selain berharap pembangunan semula dapat dijalankan di kawasan sama kerana mempunyai nilai sentimentalnya yang tersendiri,” katanya.