Tuesday, November 03, 2009

Usul contohi azam Singpura


Mantan menteri: Guna Bahasa Malaysia untuk perpaduan kaum


KUALA LUMPUR: Mantan Menteri Penerangan Malaysia, Tan Sri Zainuddin Maidin, berkata Malaysia hendaklah mempunyai keazaman politik untuk mencontohi Singapura bagi merealisasikan sekolah satu aliran.
Menurut beliau, tidak boleh dinafikan bahawa republik itu berjaya melahirkan satu bangsa yang tidak lagi bersuara dan bertindak atas sentimen perkauman sekalipun terdiri daripada berbilang kaum hasil kejayaan cemerlang dasar pelajarannya.
'Jika Singapura menggunakan bahasa Inggeris sebagai jalan keluar ketika menghadapi krisis kebangkitan fahaman perkauman dan komunisme China di awal tahun 1960-an, bahasa Malaysia yang telah diterima semua kaum boleh memainkan peranan yang sama sekalipun sudah terlewat.
'Harus diingat Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, dengan berani menunjukkan political will (keazaman politik) untuk menutup sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan menutup Nanyang University dan Ngee Ann College demi melahirkan satu bangsa Singapura sekalipun beliau menghadapi tentangan yang cukup hebat daripada golongan komunis serta cauvinis Cina dan Melayu,' katanya di sini kelmarin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan ahli-ahli parlimen yang meminta kerajaan menyusun semula sistem pendidikan negara, termasuk melaksanakan sekolah satu aliran, bagi memastikan perpaduan antara kaum dicapai.
Menurut Tan Sri Zainuddin lagi, kejayaan Singapura dapat dilihat dan dirasakan sekarang oleh mereka yang mahu melihat negara itu secara rasional apabila rakyatnya tidak lagi bercakap dan bertindak mengikut naluri dan sifat-sifat perkauman.
Beliau berkata penggunaan bahasa Malaysia untuk satu aliran sekolah tidak seharusnya dianggap sebagai perkauman kerana bahasa itu telah pun diterima sebagai bahasa rasmi negara dan membuktikan keupayaannya, termasuk penggunaan di parlimen.
'Bahasa-bahasa lain masih boleh diajar sebagai bahasa kedua seperti dilakukan di Singapura,' katanya.
Mengulas kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, bahawa beliau hanya akan mengubah kepada satu aliran sekolah jika dikehendaki rakyat, Tan Sri Zainuddin berkata ia adalah satu kenyataan yang longgar berasaskan kepentingan politik semasa.
'Kenyataan itu tidak menepati hakikat kehendak rakyat yang lebih mengutamakan kepentingan masa depan bangsa dan negara.
'Saya memahami kedudukan Barisan Nasional (BN) tidak begitu mantap sekarang ini, yang tidak memberikan kekuatan kepada kerajaan untuk bercakap secara tegas dan berani sekalipun menyedari hakikat bahawa hanya dengan satu aliran sekolah sahaja dapat melahirkan 1Malaysia,' jelasnya.
Menurut beliau, hakikatnya perlu disedari bahawa setelah 50 tahun merdeka, negara berada dalam keadaan yang berkecamuk tanpa menampakkan penghayatan terhadap inspirasi nasional akibat wujudnya sekolah aliran pelbagai bahasa.
'Jika satu pendekatan yang berani tidak diambil dari sekarang, maka 50 tahun lagi seorang Perdana Menteri baru akan bercakap perkara yang sama untuk menyatukan bangsa dan negara menerusi sekolah satu aliran.
'Penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dengan menjadikan pelajaran bahasa-bahasa lain sebagai wajib untuk bahasa kedua tidak seharusnya menimbulkan sebarang kebimbangan.
'Adalah suatu hal yang agak mendukacitakan apabila media kelihatan seolah-olah menjalankan usaha untuk mempromosikan sekolah aliran satu bahasa bagi mendapatkan reaksi rakyat sedangkan Singapura telah menyelesaikan masalah ini bertahun lalu,' jelas beliau. -- Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment