Wednesday, October 28, 2009

Catat jangkitan HIV tertinggi

KOTA BHARU 26 Okt. - Biarpun kerajaan Pas Kelantan sering mendabik dada dengan mendakwa mereka adalah contoh terbaik untuk mendidik rakyat tetapi realitinya berbeza.
Masalah sosial di kalangan rakyat di negeri ini tidak jauh berbeza dengan negeri-negeri lain, malah pada tahun lepas ia mencatatkan kes jangkitan HIV yang tertinggi dengan 749 kes baru berbanding tahun sebelumnya.
Hakikat ini diakui oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Wan Ubaidah Omar ketika menjawab soalan lisan, Zulkifli Mamat (Pas-Pulai Chondong) pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Paling membimbangkan, katanya, peningkatan golongan belia yang dijangkiti virus tersebut terutama melalui hubungan seks rambang.
''Statistik menunjukkan jangkitan baru melibatkan usia 20 sehingga 29 tahun adalah 25 peratus manakala 30 sehingga 39 tahun sebanyak 42 peratus.
''Cara jangkitan juga menunjukkan trend yang berbeza, jika pada tahun 2003 seramai 70 peratus yang dijangkiti HIV adalah melalui suntikan, pada tahun lepas cara tersebut turun kepada 53 peratus.
''Apa yang membimbangkan ialah jangkitan secara seks rambang yang meningkat dari 19 peratus kepada 27 peratus pada tahun lepas," katanya.
Wan Ubaidah berkata, kebanyakkan jangkitan baru ini terpaksa ditanggung oleh wanita di mana pada tahun lepas ia menunjukkan peningkatan sebanyak 19 peratus.
Mendengarkan penjelasan tersebut, Zulkifli kemudian bangun mengemukakan soalan tambahan yang menyatakan kerajaan tidak serius dan tidak ada program dibuat secara besar-besaran melibatkan orang ramai terutama pemimpin tertinggi untuk mencegah HIV di negeri ini.
Wan Ubaidah berkata, kerajaan negeri amat serius dalam mencegah penularan HIV dan pada masa kini dalam proses untuk mewujudkan jawatankuasa kesedaran penyakit tersebut yang turut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
''Kita telah menjalankan pelbagai usaha dalam membanteras HIV sebagai contoh kita adalah negeri terawal selepas Johor yang mewajibkan ujian saringan ke atas bakal pengantin.
''Kerajaan negeri juga sedang berusaha meningkatkan kesedaran dan pada ketika ini ia dilakukan bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan penceramah," katanya.

No comments:

Post a Comment