Tuesday, August 02, 2011

Utusan Malaysia : Kupon RM2 tindas penumpang


Sebahagian pemandu teksi bersama Pemuda UMNO, MCA, MIC dan NGO mengadakan piket membantah sistem kupon di Terminal Pengangkutan Awam Larkin, Johor Bahru, semalam.



JOHOR BAHRU 29 Julai - Kira-kira 300 pemandu teksi di Terminal Pengangkutan Awam Larkin di sini, berpiket membantah kaunter tiket teksi yang mengenakan kupon RM2 bagi setiap penumpang yang dikuatkuasakan mulai semalam.
Piket yang turut disertai oleh wakil Pergerakan Pemuda UMNO, MCA, MIC dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu tidak bersetuju dengan sistem tersebut kerana didakwa membebankan penumpang.
Seorang pemandu teksi, Samsul Kahar Othman, 45, mendakwa sistem baru itu bukan sahaja menyusahkan penumpang dan pemandu teksi, malah, dilihat menguntungkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
“Kita dapati SPAD dan pihak yang ditugaskan mengutip duit iaitu Mesra Indah Jaya Sdn. Bhd. (MIJ) mempunyai kepentingan dan hanya mahu untung ‘atas angin’.
“Bayangkan jika lokasi yang dituju mengambil masa lebih lama daripada biasa kerana kesesakan, sudah tentu tambangnya akan lebih dan ini tentu merugikan pemandu teksi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Rakannya, Rozano Salleh, 47, pula mendakwa sistem itu menyusahkan mereka kerana kupon tersebut hanya boleh tuntut dalam masa seminggu selepas dikumpulkan.
“Keadaan ini membuatkan kami susah kerana apa yang kami mahu makan kalau kena kumpul kupon dalam seminggu lepas itu baru boleh tuntut wang,” katanya.
Seorang penumpang, Ibrahim Azamat, 46, yang menggunakan perkhidmatan teksi di situ setiap hari berkata, sistem itu tidak perlu kerana sistem sedia ada menggunakan meter memberi kepuasan kepada pemandu dan pelanggan.
“Saya berulang-alik setiap hari dari Larkin ke Kampung Majidee dengan tambang RM6 dan sekarang RM8 pula. Bukankah ini bakal menimbulkan kemarahan penumpang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru, Khaled Mohamad berkata, Pemuda Barisan Nasional (BN) Johor Bahru akan menyerahkan memorandum bantahan kepada SPAD dalam masa terdekat.
Menurutnya, sistem tersebut menguntungkan sebelah pihak sahaja dan perlu mendapat persetujuan persatuan teksi dan penumpang sebelum dilaksanakan.
Presiden Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM), A. Rahman Mahadi pula berkata, sistem sedia iaitu dengan menggunakan meter adalah paling praktikal dan tidak banyak menimbulkan masalah.

Sila baca TheStar : Johor folk want taxi coupon system to stay

No comments:

Post a Comment